22 JAN : Kedai serbaneka KK Super Mart di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur yang terpalit kontroversi sandwic ‘ham and cheese’ disimbah cat merah dalam satu kejadian, semalam.
Susulan kejadian itu, Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) dalam satu kenyataan melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan dalam kampus.
Presidennya, Lim Jing Jet menuntut pihak universiti segera mengambil tindakan bagi meningkatkan keselamatan dalam kampus.
“Kejadian ini menimbulkan kebimbangan serius tentang keselamatan kampus. Jika kedai rantaian seperti KK Mart pun boleh dirosakkan dalam kawasan kampus, apakah ini membayangkan keselamatan kawasan lain dan pelajar?
“Universiti mesti mengambil langkah konkrit untuk meningkatkan keselamatan, seperti memasang lebih banyak kamera pengawasan, meningkatkan rondaan dan bekerjasama dengan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) untuk mewujudkan persekitaran kampus lebih selamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, kontroversi penjualan sandwic ‘ham and cheese’ tertera logo halal didakwa mempunyai unsur daging babi tercetus menyebabkan UM menutup dua premis jualan runcit 24 jam serta-merta.
UM dalam satu kenyataan berkata arahan penutupan dikeluarkan bagi memberi ruang siasatan dijalankan terhadap dakwaan itu.
Dalam pada itu, Jing Jet menggesa pihak universiti menjalankan siasatan berhubung kejadian itu bagi memastikan pelakunya dibawa ke muka pengadilan.
“Isu ini bukan sahaja membabitkan KK Mart tetapi juga setiap pelajar di UM, kerana tiada siapa yang tahu siapa yang mungkin menjadi mangsa seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood dilaporkan berkata pihaknya menerima makluman kejadian melalui laporan dibuat jam 8 pagi tadi.
“Siasatan mendapati kejadian kira-kira jam 12.50 tengah malam apabila pengadu yang merupakan anggota polis bantuan universiti berkenaan dimaklumkan pekerja kedai serbaneka itu.
“Semakan awal mendapati terdapat kesan cat berwarna merah di bahagian hadapan pintu kedai terbabit,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan syarikat pengeluar sandwic itu bukan pemegang sijil pengesahan halal namun syarikat tersebut tampil mendakwa bahan digunakan untuk menghasilkan sandwic itu mempunyai sijil halal.
*Foto: Facebook Persatuan Belia Baru Universiti Malaya