22 JAN : Kemelut jawatan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah diyakini tidak menjejaskan kerjasama gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.
Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata perebutan kerusi Pengerusi PH Sabah itu akan diputuskan jawatankuasa tertinggi gabungan, Majlis Presiden PH kelak yang PKR, DAP, Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
“Apa jua keputusan yang dibuat, sama ada di peringkat pusat atau negeri, perlu melalui Majlis Presiden. Perkara yang sama juga perlu dilakukan jika ia melibatkan sebarang perbezaan antara parti dalam gabungan PH.
“Setakat ini, belum ada sebarang kata putus Majlis Presiden berhubung hal yang berlaku. Kita sebagai pimpinan di peringkat negeri akan akur dengan segala keputusan,” katanya.
Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian selepas mengadakan Lawatan Kerja dan Sesi Dialog ‘Talk To Us’ di Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh pada Selasa.
Disember lalu, Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick dipilih sebagai Pengerusi PH Sabah bagi penggal 2024 hingga 2026.
Namun PKR Sabah menuntut jawatan tersebut kekal untuk parti itu seperti kelazimannya.
PRN Sabah dijangka diadakan tahun ini.