Tol percuma bersasar musim perayaan diperinci
23 JAN : Kerajaan sedang memperinci pemberian tol percuma secara bersasar pada musim perayaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu selaras usaha rasionalisasi subsidi kerajaan kepada golongan tertentu terutama kumpulan B40 dan M40.
“Ada pihak yang mempersoalkan mengapa tol percuma itu diberikan kepada semua termasuk kereta mewah seperti Rolls Royce, Mercedes dan Maserati.
“Oleh itu, kita perlu teliti supaya rakyat yang terkesan di peringkat bawah itu diberikan pertimbangan lain. Perkara ini sedang diperincikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media penutup sempena lawatan kerjanya selama tiga hari ke Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos.
Semalam, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata kerajaan masih belum memuktamadkan keputusan untuk menghentikan tol percuma pada musim perayaan susulan pengumuman Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Katanya, sebarang keputusan hanya akan dibuat pada Mesyuarat Kabinet, Jumaat ini.
Sementara Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pengumuman Alexander sebelum ini hanya menyatakan prinsip asas bahawa subsidi tidak boleh diteruskan untuk semua seperti subsidi elektrik dan minyak.
Terdahulu, Alexander mengumumkan dasar pemberian tol percuma ketika musim perayaan utama tidak akan diteruskan mulai tahun ini selepas kerajaan memutuskan tahun lalu merupakan kali terakhir pelaksanaan dasar tersebut.
Namun kata Alexander, dasar itu mungkin akan dilaksanakan jika ada pertimbangan lain yang akan diumumkan dari masa ke masa.
Beliau berkata, pemberian tol percuma itu mungkin akan dilaksanakan sekiranya terdapat pertimbangan lain dan ia akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Keputusan itu katanya sejajar dengan dasar Kerajaan Perpaduan yang mahu menamatkan subsidi secara menyeluruh dan melaksanakan subsidi bersasar.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim