23 JAN : Kempen Keselamatan Dalam Talian akan dijadikan antara program ‘flagship’ bagi tahun 2025.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata ia bagi memastikan penggunaan Internet yang lebih selamat untuk setiap lapisan masyarakat.
“Perlu (ada) mesej jelas pastikan internet bukan hanya lebih murah, lebih meluas, lebih laju tapi paling penting lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga kita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya, hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata program Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian yang dilancarkan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kelmarin bakal diperluas ke sekolah dengan modul sesuai.
Katanya, kempen yang difokuskan kepada Universiti Awam (UA) melibatkan pelajar dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sebelum ini dilihat mampu membawa mesej kempen keselamatan ke seluruh kampus di negara ini.
“Selepas ini, usaha kempen perlu membina modul bagi beberapa lapisan. Kita fokus kepada UA sebagai permulaan dan diikuti dengan usaha membawa kempen ini ke sekolah-sekolah.
“Harapan saya di peringkat sekolah, mesej yang boleh disampaikan bagi sekolah rendah ialah anak-anak berumur bawah 13 tahun ‘Say No to Social Media’ dan di peringkat sekolah menengah (mesej) memanfaatkan (Internet) dengan selamat supaya tidak jadi mangsa scam, mangsa pedofilia. Gunakan internet khususnya media sosial dengan selamat dan bijak,” katanya.
Jelasnya lagi, kempen itu disasarkan dapat digerak ke 10,000 sekolah rendah dan menengah serta institusi pengajian tinggi (IPT) menjelang hujung tahun ini.
Tambahnya, mesej itu juga akan dibawa ke masjid, surau dan tempat ibadat, persatuan penduduk serta rukun tetangga untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran keselamatan dalam talian dalam kalangan semua lapisan masyarakat.