25 JAN : Kementerian Komunikasi memberi keutamaan kepada kawasan perindustrian untuk dilengkapi dengan kemudahan Internet 5G.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata setakat ini terdapat 67 kawasan terbabit yang sudah dikenal pasti.
“Hasrat kita adalah untuk memberikan keutamaan kepada kawasan-kawasan ini kerana manfaat 5G untuk syarikat perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) adalah sangat tinggi.
“Oleh itu, kami ingin memastikan kilang-kilang ini dapat menikmati manfaat kesalinghubungan yang pantas melalui 5G,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Kerja Hala Tuju Strategik Kementerian Komunikasi 2025 di Melaka, hari ini.
Menurutnya, kesemua lokasi kawasan perindustrian itu dikenal pasti menerusi kerjasama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Sementara itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata setakat ini kadar penembusan akses 5G sudah hampir mencapai 53.3 peratus di seluruh negara.
Katanya, akses 5G dalam kalangan rakyat meningkat antara dua hingga tiga peratus setiap bulan.
Selain itu, Fahmi berkata kementeriannya sentiasa berusaha untuk memastikan kawasan pedalaman menerima sekurang-kurangnya liputan 4G sebelum ditingkatkan kepada 5G.
“Sebelum ini, kita telah melaksanakan Program Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa Satu yang dijadualkan untuk menyelesaikan kesemua 1,661 menara menjelang Jun tahun ini, sebagai langkah pertama.
“Langkah kedua, saya jangka antara dua rangkaian 5G, mereka akan melihat hubungan strategik untuk membolehkan menara-menara di kawasan pedalaman ini dimanfaatkan untuk tujuan 5G,” katanya.
Tambhanya, Jendela Fasa Dua membabitkan 2,500 hingga 3,000 lokasi di kawasan pedalaman yang masih tiada kemudahan Internet.