28 JAN : MCA Johor membuat permohonan maaf hari ini susulan status yang dimuat naik salah seorang pentadbir laman Facebook parti itu pada Ahad.
Dalam satu kenyataan, MCA Johor berkata kenyataan tersebut bukan dikeluarkan oleh mana-mana pemimpin parti.
“MCA Johor memohon maaf khususnya kepada seluruh umat Islam diatas perkongsian status pihak lain di Facebook MCA Johor pada 26 Januari 2025 yang dilakukan tanpa sengaja oleh salah seorang pentadbir (admin) Facebook, yang tanpa memaklumkan kepada pemimpin utama MCA Johor.
“Pentadbir yang telah lama bersara dari pejabat MCA Johor itu mengakui tersilap berkongsi status daripada pihak lain yang bukan ditulis oleh MCA Johor atau mana-mana pemimpin MCA,” kata kenyataan itu.
Kata MCA Johor, individu tersebut sudah dikeluarkan daripada akses Facebook MCA Johor dan kini ia dikendalikan pentadbir baharu sahaja.
Terdahulu, tular dia media sosial tentang kenyataan daripada Facebook MCA Johor yang mempertikai soal pemberian diskaun tol sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Kenyataan itu menyebut kerajaan menyediakan dana untuk membantu rakyat Palestin dan peruntukan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mencetak al-Quran namun tidak memberi tol percuma ketika Tahun Baharu Cina.
Sementara itu, MCA Johor berkata pihaknya tidak terfikir untuk mengguris hati atau memperlekeh agama Islam.
“Sejujurnya kami di MCA Johor tidak pernah terlintas dan tiada niat untuk mengguris hati, jauh sekali menghina atau memperlekehkan agama Islam atau mana-mana agama dan kaum di negara ini.
“Sekali lagi, MCA Johor memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia di atas apa yang berlaku. MCA Johor akan lebih berhati-hati dan memastikan kejadian sama tidak berulang lagi,” katanya.
Difahamkan status itu sudah dipadam.