29 JAN : Dalam usaha menggalakkan penggunaan alat cekap tenaga, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan melaksanakan Program Nikmat Untuk Rakyat PETRA (NUR@PETRA) yang menawarkan rebat pembelian sehingga RM400.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kesinambungan daripada kejayaan Program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency (SAVE) itu diperluas di mana sebelum ini program hanya tertumpu kepada pengguna elektrik domestik.
Katanya, program itu dijenamakan semula dan diperluaskan kepada kepada sektor industri, komersial serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menurutnya, NUR@PETRA menawarkan tiga kategori e-rebat iaitu kategori pertama untuk pengguna domestik dengan tawaran sehingga RM400 untuk pembelian penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga berlabel empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).
Katanya, kerajaan menyediakan 200,000 unit rebat mengikut konsep ‘siapa cepat, dia dapat’.
“Kategori kedua dikhaskan untuk PMKS dengan pemberian e-rebat sehingga RM4,000 bagi pembelian penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga berlabel empat atau lima bintang. Dijangka hampir 1,250 premis PMKS akan mendapat manfaat daripada program itu.
“Kategori ketiga menawarkan e-rebat khas untuk pembelian pendingin (chiller) cekap tenaga bagi kegunaan penyaman udara (comfort cooling) sahaja. Lebih 300 entiti perniagaan dijangka menerima manfaat ini dalam sektor industri dan komersial,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, program itu melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM70 juta yang dibiayai Kementerian Kewangan dan dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE).
Permohonan bagi kategori pertama akan dibuka 31 Januari ini sementara kategori kedua mulai 15 Februari dan kategori ketiga bermula 1 Mac depan.
Kata Fadillah, pelaksanaan program ini mampu menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sehingga 3,910 Gigawatt jam bersamaan dengan RM2.23 bilion bagi tempoh 10 tahun.
Ia juga mampu menyumbang kepada pengurangan sebanyak 3 juta tan karbon dioksida tertakluk kepada jangka hayat dan kecekapan pengoperasian peralatan berkenaan.
Maklumat lanjut mengenai kriteria, kelayakan, cara permohonan, mekanisme pelaksanaan serta senarai jenama dan model kelengkapan elektrik cekap tenaga di bawah Program NUR@PETRA boleh didapati dengan melayari laman sesawang rasmi di pautan www.seda.gov.my/nur.