29 JAN : Malaysia akan memulakan usaha membina semula Gaza dengan pembinaan sebuah sekolah, rumah sakit dan masjid.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha itu bagi meringankan penderitaan ditanggung penduduk Palestin selepas mencapai perjanjian gencatan senjata.
“Bagi pihak Malaysia, dengan usaha ini dan usaha yang saya percaya bersama dengan rakyat dan kolaborasi dengan sektor swasta, insya-Allah kita akan mulakan dengan pembinaan sebuah sekolah, sebuah rumah sakit dan sebuah masjid sebagai suatu usaha kita, pengorbanan masyarakat dan rakyat.
“Mudah-mudahan Allah memelihara kita dan menjamin keselamatan Gaza dan Palestin,” katanya melalui rakaman video, hari ini.
Katanya, usaha pembangunan semula Gaza dan Palestin itu dapat disegerakan atas usaha bersama Kerajaan Jepun dan Malaysia.
“Alhamdulillah atas usaha kerajaan dan Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan), kita telah dapat kepastian supaya dapat disegerakan pelaksanaan program pembangunan semula Gaza dan Palestin atas usaha bersama Kerajaan Jepun dan Malaysia, yang berhasrat untuk menubuhkan dan melancarkan dana melalui kegiatan Asia Timur.
“Maknanya program Asia Timur untuk Membangunkan Gaza (Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD),” katanya.
Terdahulu Anwar memaklumkan, Jepun mengundang Malaysia menjadi pengerusi bersama dalam persidangan CEAPAD yang memfokus kepada pembangunan semula Gaza.
Sebelum ini, Anwar juga menganggarkan pembangunan semula Gaza yang rosak teruk dibedil rejim zionis sejak Oktober 2023 itu menelan kos lebih AS$1 trilion.