29 JAN : Harga runcit diesel naik 5 sen seliter di Semenanjung daripada RM3.13 kepada RM3.18 seliter, manakala harga runcit di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter mulai esok hingga 5 Februari.
Sementara itu, harga runcit petrol RON95 serta RON97 kekal dengan masing-masing pada paras RM2.05 dan RM3.43 seliter.
Pengumuman itu dibuat Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan, hari ini.
Kata MOF, kenaikan harga runcit diesel itu masih berada pada paras rendah berbanding pasaran dunia kini.
“Kerajaan menetapkan harga runcit diesel di Semenanjung pada RM3.18 seliter. Harga itu masih rendah berbanding harga diesel yang diapungkan pada 10 Jun 2024 iaitu RM3.35 seliter mahupun harga diesel di pasaran dunia kini,” menurut kementerian itu.
Menurut MOF, penetapan harga itu dibuat berdasarkan harga runcit mingguan produk petroleum menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
Selain itu, kata MOF kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran serta menyelaras harga runcit RON97 dan diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak juga menyokong kestabilan harga.
“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” kata MOF.