Ahmed al-Sharaa Presiden baharu Syria bagi fasa peralihan
31 JAN : Ahmed al-Sharaa atau dikenali sebagai Abu Muhammad al-Jolani diumum sebagai Presiden Republik Arab Syria yang baharu dalam fasa peralihan selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad.
Jurucakap Jabatan Operasi Ketenteraan, Kolonel Hassan Abdul Ghani mengumumkan pelantikan itu pada Persidangan Kemenangan yang diadakan di Damsyik, kelmarin.
Menurut Abdul Ghani, Ahmed bakal menggalas tugas presiden termasuk mewakili Syria ke peringkat antarabangsa dan diberi kuasa membentuk majlis perundangan sementara yang akan berfungsi sehingga Perlembagaan tetap negara diluluskan dan dikuat kuasakan.
Tahun lalu, Ahmed memimpin operasi menjatuhkan rejim Assad di Syria.
Dalam ucapan sulungnya, Ahmed berikrar untuk mengheret penjenayah yang bertanggungjawab dalam pertumpahan darah di Syria.
Beliau turut berjanji akan memulakan proses peralihan politik yang inklusif termasuk mengadakan persidangan kebangsaan, membentuk kerajaan perpaduan dan mengadakan pilihan raya dalam tempoh empat tahun.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan menghormati kepelbagaian etnik dan mazhab di Syria serta menjamin keselamatan semua rakyat.
“Tiada sesiapa yang berhak mengecualikan mana-mana mazhab atau kelompok etnik.
“Mazhab-mazhab ini telah hidup bersama selama berabad-abad dan kita mesti memelihara kepelbagaian ini,” kata Ahmed yang dilihat sebagai pemimpin politik lebih bersederhana serta seorang figura yang mampu memimpin Syria ke arah keamanan dan kestabilan.
Dilaporkan pelantikan beliau diterima baik rakyat negara itu dan masyarakat antarabangsa.
Sementara itu, Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud menzahirkan ucapan tahniah kepada Ahmed atas pelantikan itu sambil mendoakan kejayaan beliau dalam memimpin Syria dalam tempoh peralihan itu.
Turut menzahirkan ucapan tahniah ialah Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohamad bin Salman Al Saud.
Abdul Ghani dalam pengumuman sama memaklumkan pembatalan Perlembagaan 2012, penggantungan semua undang-undang luar biasa dan pembubaran Dewan Rakyat serta tentera rejim lama.
Turut dibubarkan ialah semua agensi keselamatan, tentera dan parti-parti politik yang mempunyai hubungan dengan rejim Assad termasuk Parti Baath Sosialis Arab dan Barisan Progresif Nasional.
Dalam pada itu, kesemua aset-aset entiti yang dibubarkan itu akan dikembalikan kepada negara Syria.
*Foto: Anadolu Agency