31 JAN : Kerajaan MADANI tidak meminggirkan kebajikan rakyat Malaysia meskipun pelbagai inisiatif dirancang dan dilaksanakan untuk rakyat Palestin termasuk usaha mempercepatkan pembangunan semula Gaza yang diumumkan, baru-baru ini.
Yang Dipertuan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Hasanuddin Yunus berkata kerajaan dilihat sentiasa cakna dalam soal kebajikan rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pada masa sama tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap saudara seagama di Palestin.
“Adalah tidak tepat untuk menyamakan sokongan Malaysia terhadap Palestin dengan peribahasa ‘anak kera disusukan, anak sendiri di rumah kebuluran’.
“Kerajaan MADANI terbukti konsisten melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan kesejahteraan rakyat terjaga menenerusi inisiatif seperti subsidi bersasar, Sumbangan Tunai Rahmah (STR), kenaikan gaji minimum, jualan Rahmah MADANI dan pelbagai lagi.
“Malaysia berpegang kepada prinsip sejagat tanpa mengabaikan keperluan rakyatnya seiring dengan usaha memperkukuh kestabilan ekonomi dan kemakmuran negara,” katanya bagi mengulas pertikaian pihak tertentu terhadap tindakan kerajaan untuk membangun semula Gaza.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia akan menyegerakan untuk membina masjid, sekolah dan hospital di Gaza di mana ia dapat disegerakan dengan bantuan Kerajaan Jepun.
Mengulas lanjut, bercakap kepada BBCPORTAL, Hasanuddin berkata kesungguhan Malaysia dalam mempertahankan keadilan serta hak rakyat Palestin sejajar dengan prinsip kemanusiaan yang menekankan hak setiap individu untuk hidup bebas daripada sebarang diskriminasi.
Justeru itu katanya, YADIM sentiasa mendukung usaha itu dengan menggerakkan agensi-agensi di bawahnya bagi menjayakan projek tersebut.
“Perdana menteri mengukuhkan hubungan strategik dengan China dan Jepun yang turut komited dalam pembangunan semula Gaza dengan mengoptimumkan sumber sedia ada bagi memastikan bantuan disalurkan secara efektif demi kesejahteraan rakyat Palestin.
“YADIM juga akan meningkatkan penerangan dan memastikan penceramah dan felo sentiasa menguar-uarkan tentang usaha ini memandangkan ia ada adalah projek negara yang dijayakan oleh pemerintah dan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor berkata campur tangan kerajaan yang juga Pengerusi ASEAN tahun ini dalam menyegerakan pembangunan semula di Gaza memberi kekuatan dalam memastikan pembinaan tersebut berjalan dengan lancar.
Katanya, usaha perdana menteri itu juga turut memberi kelegaan kepada NGO untuk menjalankan tanggungjawab dengan lebih cepat dan lancar.
“Serantau Muslim turut melaksanakan beberapa langkah awal bagi memastikan hasrat ini dapat direalisasikan antaranya dengan melakukan beberapa memorandum persefahaman (MoU) bersama rakan kongsi tempatan di Gaza.
“Menerusi MoU tersebut, kami sudah bersedia untuk membina membina semula penempatan yang telah dismusnahkan seperti rumah, sekolah dan masjid memandangkan kami sudah mempunyai pengalaman membangunkannya sebelum ini ” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Hakim berkata pembelaan berterusan Malaysia terhadap Palestin bukan hanya kerana agama semata-mata, malah ia merupakan isu global yang perlu disedari masyarakat global.
“Semua pihak sudah mula mengagumi dan menghormati Malaysia atas jasa Anwar, ia juga mengangkat nama Malaysia sebagai pembela kemanusiaan sebanding ketokohan ini dengan Nelson Mandela,” katanya.
*Foto: Ashes We Rise
*OLEH : AISYAH BADRUL