Mangsa banjir diminta daftar, mudahkan salur bantuan
1 FEB : Semua mangsa banjir di Sarawak diingatkan untuk mendaftar dengan pejabat residen atau pusat pemindahan sementara (PPS) terdekat bagi melayakkan mereka menerima bantuan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sekiranya terputus hubungan, mangsa banjir boleh terus menghubungi pihak sekretariat supaya mereka dapat mengatur cara untuk menghantar bantuan.
“Kita gesa mereka untuk pindah ke PPS, kalau tidak pun berdaftar supaya sekretariat tahu di mana keberadaan mereka.
“Kalau tahu lokasi mangsa, mudah untuk kita menyampaikan bantuan sebab itu kita wujudkan tempat pemindahan yang berpusat. Kita tidak dapat pergi ke satu-satu tempat disebabkan anggota yang terhad,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat PPS Dewan Haji Kamaruddin Ahmad Kampung Segedup di Kuching, hari ini.
Menurut Fadillah, banjir yang melanda kali ini agak mencabar susulan berlaku serentak di beberapa lokasi ditambah dengan masalah logistik serta jumlah anggota yang terhad.
Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama semua mangsa untuk memahami kesukaran dihadapi pihak terlibat dalam membantu kesemua yang terjejas.
Katanya, banyak aduan diterima namun pihak sekretariat serta pejabat residen berusaha sedaya upaya untuk membantu.
“Mangsa juga kena faham, dalam keadaan kecemasan ia bukan perkara yang mudah tapi saya yakin usaha yang terbaik sedang dilaksanakan untuk memastikan semua pihak mendapat bantuan terutamanya keselamatan.
“Bantuan dari segi makanan dan tempat penginapan yang kita cuba sediakan kemudahan sebaik mungkin bagi mengurangkan ketidakselesaan dalam menghadapi krisis. Pada ketika ini kedai banyak tutup jadi sukar untuk kita mendapatkan segala peralatan seperti bantal, tilam, selimut dan sebagainya,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan banjir di yang melanda Sarawak tahun ini adalah yang terburuk dalam sejarah.