TDM longgar syarat ambilan rekrut calon perajurit
1 FEB : Tentera Darat Malaysia (TDM) akan memperinci syor untuk melonggarkan syarat pengambilan perajurit muda yang susulan berdepan cabaran merekrut calon berkualiti.
Panglimanya, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata pihaknya tidak boleh lagi terlalu kritikal dalam aspek fizikal yang menjadi syarat utama sebelum ini.
Beliau berkata TDM mencari calon-calon perajurit muda yang berpotensi dalam bidang teknologi, teknikal dan sains.
“Kita mempunyai masalah dalam mendapatkan perajurit muda yang bagus dan berkualiti dan saya rasa masalah ini turut dihadapi di negara lain.
“Bagi menghadapi masalah ini kita telah membincangkan kemungkinan-kemungkinan…mungkin lepas ini kita tidak terlalu kritikal dalam aspek fizikal, mungkin beri tumpuan kepada kemahiran atau kelayakan terutamanya berunsur sains dan teknologi.
“Misalnya dalam aspek fizikal, kita perlu mempertimbangkan calon yang kurang satu atau dua sentimeter had ketinggian, terutamanya kepada pemohon yang mempunyai kelebihan dalam bidang teknologi, teknikal dan sains,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 201/2024 dan Wanita Siri 49/2024 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di Port Dickson, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Hafizuddeain berkata penguasaan calon dalam bidang teknologi, teknikal dan sains itu dapat dioptimumkan untuk dijadikan aset.
“Kita dapat latih dia menjadi pakar, kalau dia dapat menjadi pakar bidang komputer, contohnya, kenapa tidak? Sebab kita dalam usaha untuk membentuk pasukan cyber force dalam Tentera Darat,” katanya.
Meski begitu, beliau bertegas pihaknya tidak akan berkompromi dalam soal kesihatan calon.
Katanya, meski menerima 10,000 permohonan setiap sesi pengambilan dibuka namun katanya agak membimbangkan apabila ramai yang tidak layak atas pelbagai faktor.
“Sebenarnya pengambilan perajurit muda ini juga satu cabaran kerana dalam permohonan dalam talian, kita menerima 10,000 permohonan tetapi selepas ditapis dari segi kelayakan akademik, syarat-syarat asas, hanya 4,000 sahaja yang layak ke temuduga akhir.
“Daripada jumlah itu kita terpaksa kurangkan kira-kira 60 peratus selepas mengambil kira masalah kesihatan, psikologi…cabaran ini tidak kritikal tetapi membimbangkan,” katanya.
Menurutnya lagi, TDM akan mengeluarkan polisi Indeks jisim badan (BMI) terbaharu yang lebih relevan berbanding yang ditetapkan ketika ini pada paras 26.9 ke bawah.
Dalam majlis itu, seramai 1,339 perajurit muda berjaya menamatkan latihan setelah menjalani latihan pada 26 Julai 2024 hingga 1 Februari 2025 di PUSASDA.
*Foto: Facebook Tentera Darat Malaysia