Parlimen bukan tempat bertegang urat, maki hamun
3 FEB : Kesemua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara diingatkan untuk menjadi benteng perpaduan negara bukannya agen perpecahan rakyat.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan peringatan itu ketika menyampaikan titah sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas di Parlimen, hari ini.
Baginda menegaskan Parlimen adalah tempat undang-undang digubal bukannya tempat untuk bertegang urat.
“Parlimen adalah gelanggang pertemuan suara rakyat jelata, tempat di mana undang-undang digubal dan medan semak dan imbang atau ‘check and balance’ ke atas pentadbiran negara.
“Parlimen bukan tempat untuk bertegang urat, memaki-hamun atau menabur fitnah tetapi ia adalah dewan yang mulia untuk membahasakan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.
“Ahli-ahli Yang Berhormat hendaklah menjadi benteng perpaduan negara dan bukannya agen perpecahan rakyat.
“Justeru itu, hentikan tindakan bermain politik atas setiap isu dan jangan hanya mementingkan parti atau kelompok sendiri sahaja,” titah baginda.
Menurut baginda, pada sesi tahun lalu ramai ahli dewan yang menunjukkan sikap lebih sopan namun tidak dinafikan masih ada yang terbawa-bawa tabiat lama.
“Saya perhatikan dalam persidangan dewan tahun lepas, ahli-ahli dewan telah banyak berubah dan menunjukkan sikap yang lebih sopan. Tahniah kepada semua.
“Namun begitu, ada juga segelintir ahli yang sukar untuk membuang tabiat lama. Tidak perlu saya senaraikan perangai buruk tersebut kerana saya percaya, setiap ahli sedar dan tahu bagaimana untuk menjaga tingkah-laku masing-masing,” titah baginda lagi.
Selain itu, baginda menzahirkan penghargaan atas peranan dimainkan pentadbiran hari ini yang mampu mengekalkan kestabilan politik serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.
“Saya juga menghargai peranan yang dimainkan oleh semua pemimpin dalam mengekalkan kestabilan politik kerana ianya telah menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan sosial negara.
“Saya bersyukur melihat perkembangan ekonomi termasuk prestasi ekonomi domestik dan pelaburan negara yang semakin bertambah baik. Nilai ringgit kembali kukuh dan kadar pengangguran kekal rendah.
Pada tahun lepas, pertumbuhan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) mencapai 5.9 peratus dalam pelbagai sektor dan jumlah perdagangan negara melepasi angka RM2 trilion untuk tempoh 9 bulan pertama.”
“Saya mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri dan kerajaan atas prestasi ekonomi negara yang membanggakan ini. Saya harap ia akan terus dipertingkatkan lagi. Namun kerajaan perlu pastikan prestasi baik ini membawa nikmat kemakmuran kepada rakyat dan bukan hanya beri keuntungan kepada kumpulan tertentu,” titah Sultan Ibrahim.
Menyentuh soal subsidi bersasar yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini, baginda bertitah ia perlu diagih kepada kumpulan yang benar-benar layak sahaja.
“Saya menyambut baik pendekatan subsidi bersasar yang memperkukuh kedudukan kewangan kerajaan namun saya menggesa agar subsidi bersasar itu diagih dengan cekap dan berkesan kepada kumpulan yang benar-benar layak sahaja,” katanya.
Terdahulu, baginda berangkat tiba di Dewan Rakyat kira-kira jam 10.10 pagi diiringi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Mengikut takwim rasmi Parlimen, Dewan Rakyat bersidang selama 18 hari dengan pembentangan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja serta perbahasan usul selama 7 hari mulai esok.
Sesi persidangan diteruskan dengan sesi jawapan menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Februari selain dan pembentangan rang undang-undang (RUU) serta urusan kerajaan yang lain akan berlangsung pada enam hari terakhir persidangan bermula 26 Februari.
Persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung selama 13 hari bermula 3 Mac.
OLEH : HANUM RAJAK