3 FEB : Rakyat di negara ini perlu dididik untuk menilai dan memeriksa setiap maklumat yang diterima bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan atau terjebak menyebar fitnah.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata masyarat kita terlalu mudah percaya maklumat yang diperoleh hingga terlalu ramai yang menjadi mangsa penipuan.
“Memang banyak isu berbangkit sekarang ini. Kita faham maksud titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini yang kita tafsirkan berkait isu 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja.
“Tapi tuanku juga ada sebut tentang fitnah dan penipuan yang memang berleluasa sekarang ini. Saya semak memang berpuluh ribu kes penipuan, macam-macam jenis pernipuan ada.
“Rakyat Malaysia selalu terikut-ikut, tanpa kesedaran terdedah kepada penipuan dan jenayah siber. Konteks yang disebut tuanku sangat luas, bukan saja melibatkan isu-isu politik tapi juga melibatkan isu-isu bukan politik yang juga beri kesan besar contohnya, buli siber dan sebagainya.
“Sekarang ini Malaysia dalam keadaan kritikal untuk menangani isu-isu ini kerana kita amal dasar tiada sekatan dalam media sosial cuma bila langgar undang-undang akan dikenakan tindakan,” katanya kepada BBCPORTAL.
Terdahulu, Sultan Ibrahim menzahirkan kebimbangan terhadap budaya fitnah dan hasutan yang berleluasa dalam media sosial ketika mencemar duli bertitah sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas di Parlimen, hari ini.
Baginda menitahkan agar kerajaan lebih tegas dalam membendung perkara itu daripada terus merebak kerana dibimbangi budaya itu akan menyebabkan rakyat keliru, bermusuhan dan berpecah-belah.
Dalam pada itu, Mohd Azizuddin berkata berita fitnah lebih cepat tersebar dan dipercayai di mana masyarakat lebih mempercayai maklumat yang sampai paling cepat kepadanya.
Menurutnya, kerajaan perlu ada mekanisme untuk menangani bahaya penyebaran maklumat berbaur fitnah dan hasutan serta isu penipuan dalam media sosial terutama dari segi pendidikan untuk rakyat.
“Rakyat memang perlu dididik untuk menilai maklumat diterima, tak boleh terima bulat-bulat. Maklumat sensasi buatkan mereka kongsi tanpa semak. Sukar untuk kerajaan mengawal keadaan ini dan diharapkan rakyat kena faham. Pembuat dasar di Parlimen kena ada mekanisme untuk selesaikan isu ini,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya tahap literasi rakyat Malaysia terhadap undang-undang masih rendah malah masih ramai yang tidak tahu hak mereka sebagai rakyat negara ini menyebabkan ramai yang menjadi mangsa penipuan melibatkan puluhan ribu ringgit.
“Kalau tanya rakyat Malaysia di bawah pun kesedaran terhadap undang-undang yang melindungi mereka pun tak tahu. Jadi itu yang jadi apabila kena ugut ‘polis’ untuk bayar supaya selesai kes jenayah.
“Sepatutnya semak dengan balai polis saja boleh tahu. Apa-apa kes tak akan sewenang-wenangnya polis minta duit untuk selesaikan kes. Tapi apabila tak tahu hak sendiri atau undang-undang, itu yang ikut saja arahan penjenayah. Penjenayah ini sangat licik,” katanya.
Beliau juga melihat ada keperluan kerajaan meneliti mana-mana kelompangan dalam undang-undang hari ini susulan kemajuan teknologi di mana kini kecerdasan buatan (AI) sudah mula disalah guna.
*OLEH : HANUM RAJAK