5 FEB : Kementerian Komunikasi menggalakkan syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini menggunakan teknologi Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) dalam menyediakan liputan 4G yang stabil.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata usaha itu bagi memastikan pengguna dapat menikmati liputan 4G yang stabil tanpa mengira perkhidmatan yang digunakan walau di mana saja.
“Kita mendapati liputan 4G di kawasan berpenduduk secara purata adalah 97 peratus tetapi liputan untuk setiap syarikat adalah berbeza. Contohnya, Celcom liputan 4G pada kadar 94 peratus, Digi (95 peratus), Maxis (98 peratus), U-Mobile (82 peratus) dan TM (Telekom Malaysia) sebanyak 80 peratus.. Jadi ini faktor yang kita mahu atasi pada tahun ini.
“Kita nak menggalakkan syarikat telco ini memastikan bagi kawasan yang tiada liputan 4G, mereka akan menggunakan teknologi MOCN untuk pastikan kongsi infrastruktur ini untuk pastikan semua pengguna tidak kira menggunakan perkhidmatan dari syarikat telco yang mana atau berada di mana tapi mereka boleh menikmati 4G yang stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini bagi menjawab soalan tambahan Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani).
Mohammed Taufiq ingin tahu bagaimana kerajaan akan memastikan liputan 4G tidak diabaikan susulan penggunaan 5G.
Sebelumnya, Nie Ching menjelaskan perluasan liputan 5G di negara ini tidak menjejaskan liputan 4G susulan ia menggunakan spektrum berbeza.
Katanya, setakat ini, liputan 4G bagi kawasan berpenduduk di negara ini secara purata sudah melebihi 97 peratus.