5 FEB : Sudah tiba masanya Malaysia dan Uzbekistan memahat kerjasama ekonomi antara negara ke tahap lebih tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu tidak mustahil jika mengambil kira kepakaran, kekuatan dan kelebihan masing-masing.
Ia melibatkan semua bidang termasuk semikonduktor, kecerdasan buatan, pelaburan, perdagangan, industri halal, pendidikan, tenaga hijau, industri minyak dan gas serta digital.
Katanya, kewujudan sinergi baharu dan perkongsian strategik bakal membawa pulangan lumayan kepada kedua-dua negara untuk diagihkan kepada kebajikan rakyat dan juga aspek pembangunan masa hadapan.
Perkara itu disuarakan Anwar ketika berucap pada Forum Perniagaan Malaysia-Uzbekistan di ibu negara, hari ini sempena lawatan sulung Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev ke Malaysia.
Dalam ucapan sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan menekankan perdagangan dan pelaburan dalam semua bidang juga perlu diperluaskan dengan memberi tumpuan kepada industri halal dan pendidikan khususnya pendidikan tinggi.
“Mesti ada laporan yang dikemukakan kepada kita setiap bulan. Ini hanya boleh berlaku apabila kita mempercayai satu sama lain. Ini hanya boleh berlaku apabila kita melihat kedua-dua negara mempunyai kekuatan dan rasa hormat antara satu sama lain,” katanya.
Beliau turut menggesa , Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memudah pelawaan Uzbekistan untuk menyertai aktiviti minyak dan gasnya itu susulan ia akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim