6 FEB : Malaysia tegas menolak sebarang cadangan untuk memindahkan rakyat Palestin dari tanah air mereka secara paksa.
Malaysia turut menggesa penyelesaian kekal yang menghormati hak serta kedaulatan rakyat Palestin.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan menyifatkan pemindahan paksa itu sebagai satu bentuk pembersihan etnik yang melanggar undang-undang antarabangsa dan pelbagai resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kementerian itu yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra berkata penyelesaian itu yang menafikan hak rakyat negara itu untuk menentukan masa depan sendiri jelas tidak boleh diterima.
Malah kata penyelesaian sebelah pihak itu hanya akan memburukkan konflik yang sudah berlarutan sekian lama.
“Malaysia kekal teguh dalam solidaritinya bersama rakyat Palestin. Satu-satunya jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi mencapai keamanan dan kestabilan di Asia Barat adalah melalui penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” kata kementerian itu, hari ini.
Penyelesaian dua negara yang disokong masyarakat antarabangsa menjadi asas kestabilan jangka panjang di wilayah itu.
Wisma Putra menggesa mana-mana negara yang masih belum mengiktiraf negara Palestin agar segera berbuat demikian serta menyokong keanggotaan penuhnya dalam PBB.
Seruan itu selari dengan Resolusi Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam 2024 yang diterima pakai pada 11 November 2024 yang menekankan keperluan penyelesaian dua negara sebagai asas kepada keamanan di rantau itu.
Wisma Putra turut menyatakan sokongannya terhadap usaha diplomatik yang diambil dalam kerjasama antarabangsa termasuk yang sedang digerakkan Global Alliance dan Kumpulan The Hague dalam memastikan keamanan berkekalan bagi rakyat Palestin.
Katanya, ia menjamin keselamatan rakyat Palestin serta kestabilan Asia Barat secara keseluruhan.
Semalam, Presiden Amerika Syarikat (AS) menyatakan AS akan mengambil alih Gaza untuk dibangunkan dan mengosongkan wilayah itu dengan memindahkan rakyatnya ke negara jiran.
Perkara itu disuarakannya pada sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington.