Dedah kepada umum sebelum lapor pihak berkuasa jejas siasatan
6 FEB : Mendedahkan sebarang salah laku kepada umum atau media sebelum dilaporkan kepada pihak berkuasa boleh mengganggu proses siasatan yang sedang atau bakal dijalankan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia seakan memberi hukuman kepada individu dituduh sebelum siasatan yang adil dan dihukum.
“Buat masa ini, undang-undang (membenarkan) perkara itu, ada rasionalnya kerana semua orang mengatakatan mereka bercakap benar.
“Tapi kemudian, anda menghukum seseorang itu sebelum kes terbabit disiasat atau sebelum mereka berpeluang memberi penjelasan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Pelaksanaan Pengauditan Syarikat Kerajaan di Putrajaya, hari ini.
Beliau ditanya berkait perancangan kerajaan meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) bagi memberi perlindungan kepada individu yang membuat pendedahan umum sebelum membuat laporan kepada agensi penguat kuasa.
Ia susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang mengatakan tiada perlindungan diberi kepada pemberi maklumat yang mendedahkan kepada umum.
Menurut Anwar, kerajaan sedang meneliti perkara terbabit dan Azalina mempunyai draf cadangan untuk penambahbaikan tersebut.
Kelmarin, Azalina memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak bercadang meminda peruntukan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) untuk memberi perlindungan kepada pemberi maklumat yang membuat pendedahan kepada umum terlebih dahulu, sebelum disalurkan kepada agensi penguatkuasaan.
Kata Azalina, mengikut akta sedia ada seseorang boleh membuat pendedahan perlakuan tidak wajar kepada mana-mana agensi penguatkuasaan dan pada masa sama, perlindungan boleh diberikan kepada pemberi maklumat apabila dibuat kepada mana-mana agensi penguat kuasa.