10 FEB : Orang ramai diingatkan agar mendapatkan maklumat berkaitan kejadian tembak di sebuah pusat beli belah melalui laporan media rasmi atau polis sahaja.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata ini bagi mengelakkan orang awam terjebak dengan penyebaran maklumat palsu sehingga mencetuskan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat.
Justeru itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan menasihati orang ramai agar tidak percaya bulat-bulat segala maklumat dalam media sosial apatah lagi yang melibatkan kes jenayah.
“Saya ingin beri peringatan, rujuklah media rasmi Bernama…RTM. Jangan bertindak sebar maklumat seolah-olah kita berada di lokasi kejadian, seolah-olah kita penyiasat kes itu.
“Kemudian timbulkan pelbagai andaian dan teori, jadi perlulah berpada-pada. Paling saya risau apabila kandungan atau laporan itu dihasilkan dan menunjukkan seolah-olah ia betul-betul berlaku,” katanya.
Fahmi berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Perayaan 60 tahun Silat Cekak Pusaka Hanafi di ibu negara pada Ahad.
Terdahulu, seorang lelaki tempatan dilapor melepaskan lapan das tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam jam 10.50 malam pada Sabtu gara-gara berang selepas ditegur agar mengalihkan barang oleh pekerja pembersihan.
Akibat kejadian itu, pekerja berkenaan mengalami kecederaan pada bahagian kaki akibat ditembak namun menurut polis, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata polis sedang memburu suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang mempunyai 11 rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.
*Foto: Facebook Kementerian Dalam Negeri