10 FEB : Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi tumpuan kepada aspek jenayah rentas sempadan dan jenayah siber sepanjang kepengerusian ASEAN 2025.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata KDN akan terlibat dalam kluster keselamatan yang akan menjadi panduan pada mesyuarat di peringkat pegawai, pegawai kanan dan kementerian.
“Antara yang menjadi fokus kita ialah perkara tentang jenayah rentas sempadan yang melibatkan perkongsian maklumat risikan, peningkatan kapasiti dan operasi bersama.
“Kalau bercakap tentang jenayah rentas sempadan, kita akui hakikat (jika) kita sendiri atau mana-mana individu negara ASEAN tidak akan mampu selesaikan bersendirian. Kita kena ada jalinan kerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi bulan Februari 2025, hari ini.
Menurut Saifuddin, trend peningkatan mendadak jenayah siber termasuk penipuan dalam talian bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi juga di peringkat global.
“Kerana itu mesyuarat ASEAN dalam kluster keselamatan ini tidak akan jadi lengkap kalau tajuk ini tidak ikut diteliti oleh negara anggota ASEAN,” katanya.
Katanya, Mesyuarat Menteri-Menteri Keselamatan ASEAN dijadualkan berlangsung di Melaka September ini.
Malaysia secara rasmi mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN 2025 pada 1 Januari lalu selepas menjawat tugas itu 1977, 1997, 2005 dan 2015.