28 OGOS: Hamas sedang berhubung dengan pelbagai pihak dan pertubuhan untuk membantu rakyat Palestin berdepan cabaran yang timbul akibat serangan rejim Zionis Israel.
Memetik laporan Palestinian Information Center, perkara itu disahkan oleh ketua biro politik Hamas, Ismail Haneyya.
Hamas turut menganggap rejim Zionis Israel bertanggungjawab terhadap situasi getir yang dihadapi penduduk Gaza.
“Melihat kepada situasi dan perkembangan terkini, kepimpinan Hamas sedang berhubung dengan pelbagai pihak, terutamanya saudara-saudara di Mesir, Qatar, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Turki,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan mendapatkan sokongan untuk penduduk Gaza dan memperkukuhkan tekad mereka dalam menghadapi kesulitan yang timbul.
“Rejim Zionis Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap situasi di Gaza dan ia mesti menghentikan sekatan terhadap Gaza dengan serta-merta, menamatkan keganasan dan membenarkan bekalan perubatan dan peralatan kesihatan dibawa masuk untuk menangani COVID-19,” jelasnya.
Ismail menambah, kepimpinan Hamas di dalam dan luar negara sedang mengikuti situasi di Gaza dan membuat perancangan untuk menanganinya.