10 FEB : Aplikasi China yang mencetus sensasi, DeepSeek didakwa mengumpul data peribadi secara berlebihan dan menggunakan data untuk melatih teknologi kecerdasan buatan (AI) itu.
Agensi perisikan Korea Selatan, Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan (NIS) membuat tuduhan itu sambil mempersoalkan jawapan aplikasi itu mengenai isu kebanggaan negara.
Justeru NIS menghantar notis kepada agensi kerajaan republik itu untuk mengambil langkah keselamatan terhadap aplikasi tersebut, minggu lalu, lapor Reuters.
Di Korea Selatan, beberapa kementerian sudah menyekat akses kepada teknologi AI itu mengikuti jejak Australia dan Taiwan dalam memberi amaran atau membuat sekatan kepada DeepSeek.
Dalam pada itu, NIS juga mendakwa DeepSeek memberi akses tanpa had kepada pengiklan terhadap data pengguna dan menyimpan data pengguna Korea Selatan dalam pelayan China di mana dalam undang-undang republik itu, kerajaan boleh mengakses maklumat tersebut jika diminta.
Setakat ini tiada sebarang maklum balas daripada pihak DeepSeek.
Foto : Facebook World Internet Conference