11 FEB : Pengarah Strategi PKR Sarawak, Iswardy Morni bakal melepas semua jawatannya dalam parti itu.
Perkara itu susulan beliau dijatuhi hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur 23 Januari lalu atas kesalahan menghina Yang di-Pertuan Agong, tiga tahun lepas di bawah Akta Hasutaan 1948.
Menurut Iswardy, tindakannya itu selari dengan keputusan untuk tidak membuat rayuan terhadap kesnya itu.
“Oleh kerana saya tidak merayu maka kekal hukuman itu, kekal rekod jenayah itu kepada saya. Jadi saya tidak boleh bertanding dalam pilihan raya yang akan datang untuk satu penggal sehingga umur saya 55 tahun nanti.
“Dari sekarang, tujuh tahun, pilihan raya umum seterusnya pada 2027, jadi tambah 5 tahun selepas 2027, (maka) tahun 2032 baru saya boleh bertanding,” katanya melalui audio siar miliknya.
Menyentuh soal pemilihan parti, Iswardy yakin parti tidak akan membenarkannya untuk bertanding dalam pemilihan Mei depan.
“Tapi saya percaya, parti pun tidak akan membenarkan saya bertanding sebarang jawatan dalam parti.
“Tempoh sekarang ini, mulai minggu depan saya tidak lagi menjadi ketua cabang, sudah tidak lagi menjadi Setiausaha Koordinasi Penerangan, saya juga tidak lagi menjadi Pengarah Strategi PKR Sarawak kerana semua jawatan itu ‘dilucutkan’ kerana kes saya,” katanya.
Menurut Iswardy lagi, dirinya juga tidak boleh dilantik sebagai Senator kerana ada rekod jenayah selama satu penggal.
Iswardy dituduh selepas melakukan penghinaan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi laman Facebooknya, Iswardy Morni Official pada 29 Mei 2021.