12 FEB : Kanak-kanak tidak dibenarkan lagi ke tanah suci bagi musim haji tahun ini.
Peraturan baharu itu diumum Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, lapor Azernews.
Larangan itu bertujuan melindungi kanak-kanak daripada risiko kesesakan luar biasa ketika musim haji di sana.
“Kami mengambil langkah ini untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak serta mengurangkan sebarang bahaya yang mungkin berlaku semasa perjalanan haji,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Selain larangan itu, kerajaan Arab Saudi turut memperkenalkan beberapa inisiatif baharu bagi meningkatkan tahap keselamatan jemaah haji.
Antaranya kempen kesedaran berkait keselamatan mandiri, pengenalan sistem bijak yang direka untuk membimbing dan mengawal pergerakan jemaah haji ke kawasan ibadah dan pemodenan khemah serta laluan untuk meningkatkan keselesaan bagi memudahkan pelaksanaan ibadah haji.
Menurut kementerian itu, kerajaan Arab Saudi akan memberi keutamaan tahun ini kepada jemaah yang menunaikan ibadah haji buat kali pertama.
Terdahulu, Arab Saudi mengumumkan dasar baharu yang mengehadkan kemasukan pengembara dari 14 negara di mana mereka hanya akan mendapat visa masuk tunggal bagi membanteras jemaah haji haram.
Dasar itu menggantung visa berbilang kemasukan (MEV) satu tahun untuk Algeria, Bangladesh, Mesir, Ethiopia, India, Indonesia, Iraq, Jordan, Maghribi, Nigeria, Pakistan, Sudan, Tunisia dan Yaman.
Melalui visa kemasukan tunggal ini, penginapan maksimum dibenarkan selama 30 hari sahaja.