12 FEB : Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Kedah sedang mempersiapkan diri sebagai ‘government in waiting’ di negeri itu.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah yang baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata PH dan BN Kedah sudah mengadakan pertemuan baru-baru ini berbincang soal penganjuran Konvensyen Perpaduan (Unity Government) di negeri itu.
“Jadi pertemuan baru-baru ini kami ambil kesempatan untuk berbincang tentang bagaimana kami di Kedah ni boleh memposisikan diri kami sebagai pembangkang yang credible…yang efektif dan pada masa yang sama mempersiapkan diri kami menjadi ‘government in waiting‘ (di Kedah).
“Itu dua tujuan kami bincang kelmarin (dengan pihak BN), yang mana semua gerak kerja sesuai dengan peranan kami sebagai pembangkang…di Kedah ini UG adalah pembangkang dan Perikatan Nasional itu kerajaan,” katanya.
Saifuddin berkata demikian pada sidang media Majlis Ramah Mesra Prospek Sempena Hari Thaipusam dan Lawatan Kerja ke Penjara Sungai Petani, hari ini.
Kata Saifuddin, fokus utamanya selepas mengambil alih jawatan itu daripada Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar 7 Februari lalu adalah mengetuai struktur kepimpinan PH Kedah melibatkan PKR, DAP dan Amanah.
Menyentuh tentang pilihan raya, Saifuddin yang dilantik Senator sebelum dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri berkata soal kerusi ditandingi pada pilihan raya akan datang akan dibincangkan bersama kepimpinan partinya.
Terdahulu, ada desas-desus kononnya Saifuddin akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen di Kedah pada pilihan raya akan datang.