13 FEB : Pemuda Amanah membantah cadangan seorang ahli Parlimen kerajaan untuk mewujudkan jawatan menteri untuk agama bukan Islam.
Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu tegas dalam perkara itu.
“Tak sedarkah anda kita sudah pun ada Menteri Perpaduan? Pemimpin beginilah yang menjauhkan orang Melayu Muslim kita daripada Pakatan Harapan (PH) termasuklah Amanah.
“Pimpinan PH terutama Perdana Menteri perlu tegas dan ‘put a stop’ daripada pemimpin-pemimpin begini untuk terus keluarkan kenyataan yang jelik sebegini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui mencadangkan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam ketika membahas Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Fadhli berkata Malaysia merupakan sebuah negara yang mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan dan diyakini itu lah paksi yang akan mengekalkan keamanan dan keharmonian.
Beliau menggesa pimpinan PH agar menolak cadangan berkenaan yang disifatkan mengarut.
“Saya minta pimpinan PH untuk tegas menolak cadangan-cadangan yang amat mengarut sebegini,” katanya.