13 FEB : Platform Facebook menjadi lubuk kepada iklan-iklan perjudian dalam talian.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata perkara itu dibuktikan dengan angka kandungan yang diturunkan daripada platform itu mencecah lebih 90 peratus daripada keseluruhan kandungan yang diturunkan setakat ini.
“MCMC melaksanakan pemantauan proaktif bagi memastikan persekitaran Internet di Malaysia bebas daripada kandungan dalam talian yang melanggar undang-undang termasuk kandungan perjudian dalam talian.
“Sebanyak 224,403 kandungan perjudian di platform media sosial diturunkan darip 2022 sehingga 1 Februari lalu. Daripada jumlah ini, 209,006 kandungan perjudian mewakili 93.1 peratus telah diturunkan daripada platform Facebook sahaja.
“Bermaksud Facebook ini lubuk iklan-iklan judi dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) berkait langkah kerajaan dalam membanteras aktiviti judi dalam talian yang semakin berleluasa.
Dalam jawapan sama, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata terdapat 5,026 laman sesawang judi sudah disekat penyedia perkhidmatan Internet dalam tempoh sama.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata setakat ini pihaknya melalui Suruhanhaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima kerjasama yang baik daripada penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial meski ada beberapa platform yang masih berlengah menurunkan iklan berkaitan judi haram itu.
“Sejak kita memulakan proses dan rejim pelesenan ini, kita dapati banyak platform memberikan respons yang berbeza-berbeza, ada yang sangat bersedia untuk memberi kerjasama, ada yang culas dan memberikan pelbagai alasan untuk melengahkan proses.
“Secara umum, saya bagi contoh dalam platform seperti Youtube kita dapati iklan judi juga banyak disiarkan dari 1 Januari hingga tengah malam tadi sebanyak 5,167 kandungan dipohon untuk diturunkan dan 5,115 yang Youtube sudah turunkan.
“Bermaksud walaupun Google pada waktu ini belum dilesenkan tapi kerjasama yang mereka berikan sangat baik berbeza dengan Telegram yang mana secara keseluruhan hanya 39 peratus daripada permintaan diuruskan,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK