13 FEB : Kerajaan MADANI memperuntukkan sebanyak RM150 juta untuk pengilang padi bagi memastikan harga jualan maksima beras putih tempatan kekal RM2.60 sekilogram.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui hantaran di Facebook, hari ini.
Ia susulan pengumuman Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkait penyelarasan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per metrik tan yang bakal berkuat kuasa Ahad ini.
“Usaha membantu pesawah menjadi antara agenda pertama saya tatkala diberi amanah mengemudi negara.
“Bagi memastikan penyelarasan harga lantai belian padi ini tidak menjejaskan rakyat, Kerajaan MADANI memperuntukkan subsidi sekitar RM150 juta kepada pengilang padi, sekali gus memastikan harga jualan maksima beras putih tempatan kekal RM2.60 sekilogram,” katanya.
Menurutnya, penyelarasan harga lantai belian padi itu kali kedua dilaksanakan di bawah Kerajaan MADANI.
“Alhamdulillah saudara Mohamad Sabu mengumumkan keputusan Kerajaan MADANI untuk menyelaras harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per metrik tan, berkuat kuasa 16 Februari 2025.
“Ini adalah penyelarasan harga lantai belian padi yang kedua dilaksanakan Kerajaan MADANI dalam tempoh dua tahun untuk menambah pendapatan pesawah. Kerajaan pernah mengumumkan penyelarasan pertama pada 2023 setelah hampir 10 tahun harga lantai belian padi kekal pada harga RM1,200,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan menzahirkan penghargaan kepada Padi Beras Nasional (BERNAS) yang membantu pesawah-pesawah miskin.
“Saya juga ingin menyatakan penghargaan kepada BERNAS yang telah bersama-sama dengan kerajaan dalam memastikan kebajikan pesawah terbela. Sebelum ini, BERNAS telah menyalurkan RM60 juta kepada pesawah-pesawah miskin.
“Susulan pengumuman hari ini, saya telah menghubungi Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, dan Alhamdulillah beliau bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta untuk menyokong usaha Kerajaan membela nasib pesawah miskin.
“Insya-ALLAH, Kerajaan akan menyalurkan peruntukan ini secara terus kepada pesawah-pesawah miskin dalam masa terdekat,” katanya.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim
OLEH : HANUM RAJAK