14 FEB : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah mempertimbangkan untuk melantik menteri agama untuk orang bukan Islam dalam Kabinetnya.
Katanya, jemaah menteri juga tidak bersetuju dengan cadangan dikemukakan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui ketika sidang Dewan Rakyat itu.
Malah menurut Anwar, cadangan Yu Hui itu bersifat peribadi yang tidak mencerminkan pendirian Kerajaan MADANI.
“Kenyataan Ahli Parlimen Raub itu suara peribadi, tidak dipersetujui oleh mana-mana dalam kerajaan apatah lagi Jemaah Menteri. Soal pelantikan itu kita tahu budi bicara Perdana Menteri, dan itu tidak termasuk dalam perkiraan.
“Ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), ada Menteri Perpaduan, ada Jawatankuasa Harmoni yang mewakili semua kaum semua agama…saluran itu memadai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Salam, Puchong Perdana, hari ini.
Selasa lalu, Yu Hui mencadangkan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam ketika membahas Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat.
Namun cadangannya itu ditentang beberapa pihak termasuk parti rakannya, Amanah.
Terdahulu, Anwar sempat beramah mesra sebelum menjamu selera di Gerai Syam Bawah Pokok bersama masyarakat setempat bertukar-tukar pandangan serta pendapat mengenai isu semasa dan negara.
