17 FEB : Semua pihak dinasihatkan berhati-hati dalam berkongsi sebarang pendapat membabitkan isu perkauman di media sosial.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata hidup dalam masyarakat berbilang kaum, semua pihak perlu menjaga sensitiviti.
“Kita perlu berpada-pada dalam mengemudi sentimen yang sering kali begitu mudah tersebar atau ditular dalam media sosial…nasihat saya sebagai Menteri Komunikasi ialah kita perlu bersederhana dalam meletakkan komen.
“Kadang-kadang kita merasakan komen yang kita letak itu tak ada siapa yang akan nampak, tapi sebenarnya zaman sekarang terlalu mudah untuk sesiapa…tak perlu jadi warga MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia).
“Kadang-kadang netizen boleh mendapat pelbagai maklumat tentang seseorang yang meletakkan komen dalam media sosial, jadi saya merasakan kita perlu bersederhana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bagi program Majlis Graduasi Kecemerlangan Kepimpinan Digital (DLE) 2024 di ibu negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kontroversi terbaharu melibatkan seorang peniaga jagung yang bersifat perkauman dan mencetus perdebatan di media sosial.
Terdahulu, penjual jagung itu mencetuskan memaparkan papan tanda yang memaklumkan jualannya itu tidak djual kepada kaum India dan memohon maaf atas perbuatannya itu.
Sementara, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang memaklumkan peniaga itu berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama pada masa akan datang.
Sementara itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan berkata kerjasama antara kerajaan, industri dan ahli akademik penting dalam mewujudkan ekosistem yang teguh untuk inovasi, pembangunan bakat sertakemajuan negara.
“Selari dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia tahun ini, peranan kita membentuk masa depan yang dipacu secara digital kini amat penting.
“Program seperti Kecemerlangan Kepimpinan Digital (DLE) mencerminkan komitmen tersebut, yang melengkapkan pemimpin-pemimpin digital bagi memacu inovasi dan impak.
“Insya-Allah, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan MADANI kekal komited untuk memupuk Malaysia yang berdaya saing dan bersedia untuk masa depan,” katanya.
*Foto: Facebook Fahmi Fadzil