17 FEB : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil serius isu lelaki Muslim yang berpakaian menyerupai wanita dalam sebuah acara hiburan seperti tular, semalam.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata pihaknya bertindak mengikut undang-undang memandangkan perkara itu menimbulkan keresahan awam dan menyentuh sensitiviti agama Islam serta budaya di Malaysia.
“JAKIM telah menghubungi dan memanjangkan perkara ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang bertanggungjawab mengawal selia industri komunikasi dan multimedia di negara ini berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Pihak JAKIM akan memanggil pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan mengadakan sesi perbincangan secara tertutup bagi memberikan nasihat dan bimbingan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, tular beberapa klip video lelaki berpakaian wanita dalam acara karpet merah sebuah pertandingan anjuran sebuah stesen televisyen.
Dalam pada itu, JAKIM menyeru dan menasihati semua pihak agar sentiasa peka, menghormati nilai-nilai serta sensitiviti agama di Malaysia.
“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan berharap agar perlakuan seumpama ini tidak berulang lagi pada masa akan datang,” katanya lagi.
Katanya, sebarang hiburan perlu dibatasi dengan adab agar ia tidak bercanggah dengan akidah, syariah dan akhlak Islam.
“Sesungguhnya, Islam adalah agama rahmah dan menyantuni fitrah manusia yang menginginkan hiburan. Malah hiburan juga sebagai salah satu elemen yang membawa kepada kegembiraan, kesejahteraan dan memupuk nilai-nilai murni.
“Namun, perlu dibatasi dengan adab dalam berhibur agar tidak bercanggah dengan akidah, syariah dan akhlak Islam.