18 FEB : Kerugian yang direkodkan akibat kes jenayah siber di negara ini mencatatkan peningkatan selama dua tahun berturut-turut.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bagi tahun lalu 35,368 kes dilaporkan tahun lalu dengan nilai kerugian lebih RM1.5 bilion.
“Jumlah kes jenayah dalam talian pada 2022 adalah sebanyak 25,479 kes dengan nilai kerugian berjumlah RM851,121,636.62.
“Jumlah ini terus menunjukkan peningkatan pada dua tahun berturut-turut dengan peningkatan sebanyak 35.4 peratus iaitu 34,495 kes pada tahun 2023 dengan jumlah kerugian sebanyak RM1,218,839,783.59.
Pada tahun 2024, jumlah ini terus meningkat sebanyak 2.53 peratus kepada 35,368 kes dengan nilai kerugian berjumlah RM1,574,203,951.82,” katanya melalui jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Sivakumar Varatharaju (PH-Batu Gajah) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan perkembangan terkini mengenai jenayah siber dan penipuan dalam talian serta langkah bersepadu yang sudah dilaksanakan untuk membanteras sindiket antarabangsa yang semakin berkembang termasuk penguatkuasaan undang-undang lebih ketat.
Dalam jawapan sama, Saifuddin tidak menolak kemungkinan jumlah kes dan angka kerugian sebenar lebih tinggi daripada statistik itu dengan mengambil kira golongan mangsa yang tidak membuat laporan polis.
Bagi mengekang jenayah itu, pihak berkuasa menjalankan pelbagai usaha termasuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang, pengoperasian, tangkapan dan mendakwa mereka yang terlibat dalam penipuan melalui kerjasama bersepadu dengan pelbagai agensi.
Pihaknya juga menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa, peringkat ASEAN dan menjalankan aktiviti pencegahan di seluruh negara.
Selain Pusat Respon Penipuan Kebangsaan (National Scam Response Centre – NSRC) yang beroperasi sejak Oktober 2022, terdapat juga Portal Semakmule 2.0 yang membantu masyarakat menyemak status akaun bank, nombor telefon dan syarikat yang mungkin terbabit dengan penipuan.
Setakat 21 Januari 2025, 33,453,578 jumlah pelawat dan 238,006 akaun bank, 191,960 nombor telefon dan 7,291 nama syarikat direkodkan hasil daripada maklumat orang ramai serta mangsa penipuan.