18 FEB : Ahli Parlimen kerajaan menyifatkan tiada makna jika mana-mana akta berkait antidiskriminasi digubal sekalipun namun pada masa sama masih ada wakil rakyat yang tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.
Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Katanya, penggubalan akta itu seperti yang dicadangkan beberapa wakil rakyat tidak akan mencapai matlamat jika agama Persekutuan, Islam tidak dihormati di negara ini.
“Apa gunanya penggubalan akta antidiskriminasi kaum sekiranya kamu sendiri (Ahli Parlimen) gagal untuk menghormati dan mengiktiraf Pelembangaan yang meletakkan kedudukan istimewa orang Melayu serta Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.
Terdahulu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan penguatkuasaan undang-undang sedia ada sudah memadai bagi memelihara hubungan kaum di negara ini
Kata Aaron, tiada keperluan untuk memperkenal undang-undang baharu seumpama itu pada masa ini.
“Sesiapa yang dengan sengaja melakukan apa-apa perbuatan, mencetuskan atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang menggugat perpaduan kaum dan agama boleh disiasat dan didakwa menerusi 10 peruntukan undang-undang dalam membendung perkara berkenaan termasuk melalui Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
“Namun demikian, sekiranya keadaan mendesak dan kerajaan berpandangan bahawa undang-undang sedia ada perlu dibuat semakan semula bagi tujuan mengekang sesetengah ucapan atau kenyataan hate speech atau perbuatan provokasi yang boleh memecahbelahkan masyarakat dengan sentimen perkauman, Kementerian akan menyokong penuh hasrat tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Isam menyokong penolakan cadangan mewujudkan jawatan menteri bagi hal ehwal agama bukan Islam sambil menyifatkan ia keputusan tepat.
Namun beliau berpendapat adanya keperluan untuk mewujudkan garis panduan berkait umat Islam hadir ke rumah ibadat bukan Islam bagi memastikan umat Islam di negara ini sentiasa terpelihara.
“Sememangnya ada keperluan besar, jika tidak untuk diri saya mungkin juga diperlukan oleh pegawai saya untuk membuat susun atur dan sebagainya.
“Saya bukan mahu memandang rendah mengenai akidah umat Islam di negara ini.
“Namun, saya berpandangan, menerusi garis panduan ini, kefahaman umat Islam mengenai agama lain akan lebih jelas serta memperkukuhkan lagi hubungan antara kaum di negara ini,” katanya.
Awal bulan ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tidak keperluan mewujudkan garis panduan tertentu untuk umat Islam berkunjung ke rumah ibadat bukan Islam kerana umat Islam sudah sedia maklum dengan keperluan menjaga akidah masing-masing.
Kata Anwar, kunjungan itu dibolehkan selagi dengan niat untuk menyantuni masyarakat lain yang berbilang agama dan bangsa.