20 FEB : Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan hanya 94 kertas siasatan dibuka di bawah Akta Hasutan 1948 (Akta 15) sepanjang 2024.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata angka itu jelas menepis dakwaan kononnya kerajaan sewenang-wenangnya menggunakan akta itu.
“Faktanya tidak menunjukkan kerajaan menggunakan akta itu secara sewenang-wenangnya. Ada tiga keadaan jumlah kes yang dibuka kertas siasatannya melebihi 100.
“Ia berlaku pada 2023 iaitu 122 kertas siasatan; 2020 sebanyak 117 kertas siasatan dan 2015 sebanyak 109 kertas siasatan.
“Jadi angkanya lebih kurang sama sahaja, maka tiadalah dikatakan (kerajaan) gunakan sewenang-wenangnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, Saifuddin turut mengulang fakta bahawa kerajaan tidak menghalang penganjuran perhimpunan di mana 99 peratus daripada 7,000 notifikasi diterima pihak polis berjalan aman, tahun lalu sementara pada 2023, 98 peratus daripada 10,000 perhimpunan aman dijalankan.
“Ia sekali gus menunjukkan kebebasan berhimpun seperti tertera dalam Perkara 10 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan benar-benar dipraktikkan kerajaan hari ini. Tiada apa yang perlu dibimbangkan.
“Walaupun pada akhirnya himpunan polis membuka kertas siasatan terhadap beberapa perlanggaran, daripada 1,784, namun pendakwaan cuma 30,” katanya.
Kata Saifuddin, di bawah Akta Hasutan, lapan kes dibawa ke mahkamah membabitkan kesalahan mencemuh, menghina, menjatuhkan maruah Yang di-Pertuan Agong melalui media sosial serta sentimen agama yang menjurus kepada ketegangan kaum.
Pada 2015, lapan kes juga dituduh di mahkamah dan 30 kes pada 2020, katanya.
Selain itu, kata Saifuddin KDN menubuhkan pasukan khas bagi meneliti akta itu selain Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).
Terdahulu, kerajaan mengumumkan pindaan terhadap Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) bagi memudahkan dan membantu pelaksanaan apa-apa keputusan daripada badan atau kumpulan yang ingin mengadakan perhimpunan aman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata akta itu juga digantung dan polis tidak boleh menggunakannya sementara semua siasatan di bawah akta tersebut dihentikan.
Anwar berkata penganjur tidak perlu lagi memohon kebenaran sebaliknya cukup memberi notis pemakluman kepada polis lima hari sebelum berhimpun.