20 FEB : Kerajaan mengesahkan larangan atau sekatan berceramah yang dikenakan terhadap pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik di negara ini pada 2019 sudah tidak terpakai.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sekatan yang dikenakan pada 2019 itu susulan dakwaan ucapan Zakir yang dikeluarkan di Perlis dan Kota Bharu.
“Larangan dikenakan ketika itu (2019) kerana siasatan sedang dibuat. Saya semak balik sekarang, tak ada lagi larangan itu sebab ia hanya merujuk kepada tempoh siasatan terhadap dua kenyataan dikeluarkan dalam ucapan.
“Kalau tak silap saya di Kota Bharu dan Perlis. Sekarang larangan itu tidak (ada) lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) berkait larangan yang dikenakan terhadap Zakir.
“Polis kenakan larangan terhadap beliau pada 2019. Adakah larangan itu telah ditarik balik kerana baru-baru ini beliau telah berucap di Perlis.
“Tujuan saya tanya soalan ini bukan untuk menyentuh agama…saya tidak membantah ceramah agama oleh sesiapa kecuali ia melibatkan Zakir Naik kerana beliau seseorang yang boleh mencetuskan kontroversi di negara ini,” kata RSN.
Zakir sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mengancam keamanan.