21 FEB : Tindakan tegas perlu diambil ke atas pelaku kes cabul melibatkan seorang kanak-kanak perempuan yang sedang menunaikan solat Subuh dalam masjid di Batang Kali, Selangor.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata tindakan itu bagi memberi pengajaran kepada semua pihak.
“Saya berharap sekiranya suspek terbukti terlibat dengan perbuatan tersebut, maka tindakan tegas perlu diambil pihak berkuasa sebagai pengajaran kepada semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Mohd Na’im berkata pihak pengurusan masjid dan surau perlu mengambil iktibar atas kejadian itu dengan mempertingkat kawalan keselamatan institusi masjid dan surau.
“Seperti dilaporkan media pada 21 Februari, kejadian seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan dan mengangkat seorang kanak-kanak perempuan yang sedang solat di salah sebuah masjid pagi tadi adalah kes berunsur jenayah yang mesti dipandang serius.
“Tindakan EXCO Hal Ehwal Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Muhammad Fahmi Ngah memanjangkan laporan kejadian tersebut kepada Ketua Polis Selangor adalah tindakan tepat agar pihak berkuasa membuat siasatan segera.
“Semua pihak diseru agar bertenang dan menyerahkan perkara ini kepada tindakan pihak berkuasa,” katanya.
Pagi tadi, tular video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki berkopiah putih menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk seorang kanak-kanak perempuan dari arah belakang ketika mangsa sedang bersujud.
Lelaki itu kemudian melarikan mangsa tanpa disedari jemaah lain, sebelum dilihat bergelut untuk mencabul mangsa tetapi melarikan diri selepas kanak-kanak terbabit melawan.
Susulan itu, polis menahan suspek berusia 19 tahun yang dipercayai terlibat kes itu bagi membantu siasatan selepas menerima laporan berkait kejadian itu.
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Baharu untuk mendapatkan perintah tahanan reman, esok.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
*OLEH : HANUM RAJAK