22 FEB : Tiada lagi rakaman atau siaran langsung dibenarkan sepanjang menunaikan solat berjemaah di semua masjid di Arab Saudi termasuk solat sunat terawih.
Larangan itu dikeluarkan Kerajaan Arab Saudi yang dilaporkan Middle East Monitor.
Kementerian Urusan Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi menegaskan larangan itu tidak hanya terpakai sepanjang bulan Ramadan ini.
Kementerian itu berkata larangan itu bagi memastikan kesucian masjid, mencipta suasana yang kondusif bagi menjalani ibadah serta menjamin keselesaan jemaah yang hadir.
“Kementerian juga menekankan pentingnya imam dan khatib untuk mematuhi garis panduan yang ditetapkan dan membimbing jemaah agar mematuhi etika yang sesuai di dalam masjid,” katanya.
Bukan itu sahaja, kerajaan juga melarang pengumpulan derma untuk jamuan berbuka puasa di dalam masjid.
Jadi mana-mana umat Islam yang ingin berkongsi juadah berbuka puasa boleh melaksanakannya di tempat yang sudah ditetapkan pihak berkuasa tempatan.