22 FEB : Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 dan RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2025 akan dibentang dan dibahas untuk diluluskan pada sidang Dewan Rakyat, kali ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata perkara itu diputuskan jemaah menteri semalam sebagai bukti iltizam Kerajaan MADANI terhadap usaha melaksanakan agenda reformasi.
Pada masa yang sama ia juga bagi memperkukuh institusi-institusi demokrasi dalam negara, katanya.
“RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 merupakan langkah pertama dalam usaha mereformasi institusi dan penambahbaikan terhadap institusi demokrasi utama negara, iaitu Parlimen.
“RUU tersebut bakal mewujudkan sebuah Majlis Parlimen yang akan dipengerusikan secara bersama oleh Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2025 katanya akan dibawa bagi membolehkan Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat menganggotai Majlis Parlimen tersebut.
Selain itu menurut Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, jemaah menteri memutuskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said akan membuat bacaan pertama dan memperincikan kedua-dua RUU berkenaan di Dewan Rakyat pada Isnin, 24 Februari depan.
“Jemaah Menteri turut bersetuju dan mencadangkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat bacaan kali kedua yang dijangka pada 4 Mac 2025,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK