24 FEB : Seorang tahanan Israel, Omer Shem Tov mencuri tumpuan di seluruh dunia dengan tindakannya mencium kepala dua pejuang Hamas sebaik dibebaskan, baru-baru ini.
Perkara itu dirakam ketika pertukaran tahanan yang berlangsung di Nuseirat, Gaza dan video tersebut tular di media sosial.
Dalam pertukaran terbaharu itu, tiga rakyat Israel diserah kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) iaitu Omer, Omer Wenkert dan Eliya Cohen.
Pejuang Hamas membawa tiga tahanan itu untuk dipertontonkan di atas pentas dan mereka melambai sambil memegang sijil pembebasan sebelum diserah kepada pegawai ICRC.
Ketika di pentas itu, Omer dilihat mencium kepala dua orang pejuang Hamas sambil tersenyum dan melambai ke arah orang ramai.
Menurut laporan The Times of Israel, bapanya, Malki Shem Tov berkata setelah sekian lama tidak melihat anaknya itu, beliau akui terkejut melihat keceriaan dan senyuman yang dipamerkan.
“Dia kelihatan lebih kurus tetapi dia tetap ceria, paling positif di dunia.
“Kami tidak tahu bagaimana rupanya selepas sekian lama dia dalam tahanan. Namun, apabila dia keluar dengan senyuman dan lambaian, ia benar-benar mengejutkan kami semua,” katanya.
Ketiga-tiga rakyat Israel itu kini menjalani pemeriksaan fizikal dan mental di fasiliti Pasukan Pertahanan Israel (IDF) selepas ditahan 505 hari.
Masyarakat antarabangsa melahirkan pelbagai reaksi terhadap tindakan Omer itu namun rata-rata melihat ia sebagai balasan terhadap layanan Hamas kepada tahanannya.