Umat Islam perlu bina kekuatan ekonomi, kuasai AI dan digital

25 FEB : Umat Islam disaran membina kekuatan ekonomi serta menguasai bidang kecerdasan buatan (AI) dan digital.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan perkara itu melalui catatan di Facebook rasminya selepas Majlis Ilmu MADANI di Masjid Putrajaya yang dihadiri Imam Masjidil Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Sa’id Sabri, malam tadi.
“Dalam persaingan dunia yang sengit dan mencabar, umat Islam harus merangkul usaha untuk membina kekuatan ekonomi, menguasai kecerdasan buatan (AI) dan digital.
“Di samping menyeimbangkan kemajuan teknologi dengan nilai kemanusiaan, akhlak dan ihsan seperti ditekankan dalam gagasan MADANI,” katanya.
Mengimbau ucapannya malam tadi, Anwar berkata beliau menyeru hadirin agar meniupkan roh perjuangan dan mengangkat martabat umat dalam perlbagai bidang.
“Menyentuh tragedi genosid sewaktu Palestin dibantai dalam keadaan umat Islam yang lesu, saya menyeru hadirin agar meniupkan roh perjuangan dan mengangkat martabat umat dalam pelbagai bidang serta meninggalkan masalah remeh-temeh yang memecahbelah umat.
“Saya turut ulangi teguran yang disampaikan tatkala berucap di hadapan para ulama dan sarjana Islam sewaktu Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC) di Bahrain tempoh hari, terkait permasalahan umat Islam yang masih direnggut perpecahan akibat perbalahan isu-isu remeh, hingga kita mengabaikan usaha membangun dan memperkukuh perpaduan umat,” katanya.
Pada majlis sama, Anwar berkata Sheikh Dr Ekrima menyampaikan tausiah bertajuk ‘Kedudukan al-Quds dan al-Aqsa di sisi Islam’ yang mengupas sejarah agung kota Al-Quds.
“Yang menyaksikan kebesaran Allah SWT melalui peristiwa Israk dan Mikraj.
“Ketokohan Umar Al-Khattab sebagai seorang khalifah yang adil dan diberi penghormatan membuka kota Baitulmuqaddis turut disentuh dan dikongsikan bersama hadirin.
“Pada masa itu, kota Al-Quds menjadi saksi, tatkala Bilal ibn Rabah kembali mengalunkan azan selepas lima tahun kewafatan Rasulullah SAW, yang meruntun jiwa para sahabat yang merindui Baginda,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Syeikh Dr Ekrima sebagai seorang tokoh yang menjadi benteng pertahanan umat dalam memperjuangkan kedudukan Masjid al-Aqsa.
Dalam ucapan Anwar pada majlis itu juga, beliau menyatakan kesediaan Malaysia untuk memberi bantuan khusus dalam sektor pendidikan dan kesihatan di Baitulmaqdis, Palestin sesuai dengan permintaan Sheikh Dr Ekrima.
Terdahulu, Anwar bersama ribuan jemaah menunaikan solat Maghrib dan Isyak diimamkan Sheikh Dr Ekrima.
