25 FEB : Dua mahasiswa lelaki dari sebuah universiti di Indonesia dijatuhi hukuman sebat lebih 80 sebatan selepas mengaku bersalah melakukan hubungan sejenis.
Pendakwa Raya di Mahkamah Daerah Banda Aceh dikenali sebagai Alfian memaklumkan kepada AFP keputusan itu dibuat mahkamah pada Isnin.
“Panel hakim di Mahkamah Syariah Banda Aceh menjatuhi hukuman ke atas kedua-dua lelaki berkenaan yang melakukan liwat.
“Suspek pertama dijatuhi hukuman lebih berat kerana menyewa bilik itu dan merupakan orang yang ‘memulakan perbuatan berkenaan’ katanya.
Menurut Alfian, tertuduh pertama dikenali AI dijatuhi hukuman 85 sebatan sementara pasangannya, tertuduh kedua, DA dijatuhi hukuman 80 sebatan.
Kedua-duanya didakwa atas kesalahan jenayah kerana melakukan hubungan sejenis.
November tahun lalu, penduduk dilaporkan menyerbu sebuah bilik sewa di ibu kota wilayah Banda Aceh dan menemui dua lelaki tersebut disyaki melakukan hubungan sejenis.
Pada tahun 2021, sepasang kekasih turut dirotan kerana kesalahan yang sama.
Terbaharu, pada bulan lalu, empat lelaki dirotan kerana terlibat dalam perjudian dalam talian.
Aceh menguatkuasakan undang-undang syariah selepas diberikan autonomi khas pada tahun 2001.
*Foto: AFP