25 FEB : Vietnam sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam sejarah peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara itu dikongsi beliau selepas mengadakan pertemuan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam di ibu pejabat parti itu di Hanoi, malam ini.
“Semasa zaman mahasiswa, kepimpinan Ho Chi Minh menjadi inspirasi dan sumber kepada semangat perjuangan kami. Hubungan sejarah antara Malaysia dan Vietnam cukup erat dan kini menjadi tanggungjawab generasi hari ini untuk terus memperkukuh kerjasama demi manfaat bersama.
“Kami menyentuh kepentingan dalam memperluas kerjasama dalam bidang digital, kecerdasan buatan (AI) serta aktiviti perikanan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam ini.
Beliau melakukan kunjungan hormat itu sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, Hanoi, malam ini untuk lawatan kerja selama dua hari ke Vietnam.
Kata Anwar, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap pertumbuhan pesat ekonomi Vietnam yang banyak memberikan pengajaran dan inspirasi kepada Malaysia.
“Kita boleh belajar daripada kejayaan Vietnam dalam meneroka teknologi baharu dan sektor tenaga yang mampan,” katanya.
Dalam pertemuan itu juga Anwar menyampaikan penghargaan atas dukungan Vietnam terhadap kepimpinan Malaysia yang kini mengetuai ASEAN.
“Dukungan berterusan daripada Vietnam amat penting bagi memastikan ASEAN kekal kuat dan berjaya dalam mencapai matlamatnya. Hubungan strategik antara Malaysia dan Vietnam tentunya telah menjadi keutamaan negara, terutamanya selepas lawatan terakhir TYT (Lam) ke Malaysia.
“Kami mencapai persetujuan dalam aspek perkongsian maklumat perisikan serta kerjasama ketenteraan, yakni satu langkah penting dalam memastikan kestabilan dan keselamatan serantau,” katanya.

Pada November tahun lalu, Lam mengadakan lawatan rasmi sulung ke Malaysia sejak dipilih sebagai ketua Parti Komunis Vietnam pada Ogos 2024.
Anwar dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Republik Sosialis Vietnam, Luong Cuong dan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh, esok.
Anwar dijadual menyampaikan ucaptama dalam Forum Masa Depan ASEAN (AFF) kedua yang dianjurkan kerajaan Vietnam, esok dan dijangka pulang selepas forum tersebut.
*OLEH : HANUM RAJAK