26 FEB : Kecerdasan buatan (AI) perlu dilihat sebagai alat untuk melengkapi peranan media di negara ini dan bukan sebagai ancaman.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata seiring perkembangan teknologi, semua sektor perlu mengikuti perkembangan terkini bagi agar tidak ketinggalan.
“Sudah tentu ada beberapa kebimbangan, tetapi kita dapat lihat bahawa RTM telah memperkenalkan segmen berita menggunakan pembaca berita AI dalam bahasa Cina di satu saluran untuk mengatasi kesukaran dalam mendapatkan tenaga kerja yang sesuai.
“Jadi, pada tahap tertentu, saya percaya AI dapat membantu menyelesaikan cabaran dalam mencari bakat yang sesuai dalam bidang-bidang tertentu. Ia juga mempercepatkan pengambilan maklumat, membolehkan pengamal media bekerja dengan lebih cekap,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Simposium Penyiaran Digital Kesatuan Penyiaran Asia-Pasifik (ABU) ke-21 di Klang pada Selasa.
Dalam pada itu, Nie Ching berkata Pusat Penyebaran Maklumat Negara (NADI) kini sedang giat mempromosi program pembelajaran kendiri dalam talian iaitu ‘AI untuk Rakyat’ yang direka untuk meningkatkan kesedaran tentang AI.
Katanya, sejak dilancarkan Mei tahun lalu, seramai 1.3 juta rakyat Malaysia sudah menyelesaikan modul ‘AI untuk Rakyat’ itu.
Menyentuh soal keselamatan dalam talian, Nie Ching mengingatkan orang awam agar sentiasa berhati-hati dengan sebarang penipuan yang menggunakan AI.
Katanya, perkara itu sedang ditangani Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam memastikan ekosistem digital lebih selamat untuk pengguna.
“Pada 2023, MCMC menurunkan sebanyak 6,297 kandungan berunsurkan penipuan di media sosial tetapi jumlah ini meningkat kepada 63,652 pada 2024.
“Sehingga 1 Februari 2025, sebanyak 5,854 kes lagi dipadam, menjadikan jumlah keseluruhan kes antara 2022 dan 1 Februari sebanyak 76,045 termasuk akaun palsu dan penyamaran,” katanya.