26 FEB : Sebuah jawatankuasa akan dibentuk bagi mencari jalan keluar berkait agihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang yang masih tiada penyelesaian setelah lebih dua tahun.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan dan pembangkang perlu mencapai konsensus untuk pengagihan tersebut dibuat.
“Sebab kerajaan ini kita terpaksa ada konsensus, jadi konsenses itu perlu kita dapatkan, tapi tak perlu bawa ke media, nanti kita bincang, siapa-siapa yang nak bincang, kita bincang,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan 2025, hari ini.
Menurutnya, setakat ini hanya Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang datang berbincang berkait isu peruntukan tersebut.
“Kalau dari segi peruntukan, dulu juga pembangkang yang mengatakan mereka tak nak berunding, tak setuju apa semua. Sebab itu saya kata tak ada perundingan, yang ada Syed Saddiq memang saya menerima cadangan daripada dia, yang lain tak ada…apa kita nak buat?
“Saya perlu halusi segala cadangan sebab walaupun banyak cadangan dikemukakan Syed Saddiq, tapi dia tak mewakili pembangkang…dia hanya mewakili diri sendiri sebab pembangkang sudah ada ketua pembangkang, jadi kita kena lihat keseluruhan,” katanya.
Fadillah merupakan menteri yang dipertanggungjawabkan mewakili kerajaan untuk berunding dengan pembangkang dalam hal peruntukan tersebut.
Sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) menolak memorandum persefahaman (MoU) yang dikemukakan kerajaan.
Namun pada September lalu, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan kesediaan gabungan itu untuk berbincang semula sekiranya kerajaan menyediakan draf baharu dan menubuhkan jawatankuasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengulang penegasannya bahawa tiada sebarang syarat pernah ditetapkan untuk ahli Parlimen pembangkang menyokongnya bagi mendapatkan peruntukan.
*Foto: Facebook Fadillah Yusof