Dunia Islam, politik alami defisit kepercayaan kerana sikap pemimpin
27 FEB : Dunia Islam dan politik berdepan defisit kepercayaan gara-gara sikap pemimpin yang bercakap soal perjuangan namun pada masa sama mengumpul kekayaan melebihi kemampuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemimpin sebegini meski berilmu namun tiada nilai moral.
“Kita lihat dunia sekarang, khususnya dunia Islam dan politik secara umum. Apa yang kurang? Ia adalah defisit kepercayaan dalam kalangan kita sendiri.
“Mereka bercakap mengenai perjuangan, pengorbanan dan sumbangan, tetapi pada masa sama mengumpul kekayaan melebihi kemampuan mereka.
“Mereka tidak menunjukkan contoh yang baik. Ya, mereka mungkin mempunyai ilmu dan tahap kecekapan tertentu, tetapi tiada nilai moral. Itulah maksudnya defisit kepercayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Pelajar Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) Bersama Perdana Menteri di Alor Setar, Kedah, hari ini.
Menurut Anwar, pemimpin dunia Islam kini juga dilihat lebih gemar bercekau dalam hal yang remeh.
“Inilah cabaran besar bagi anak muda. Kita mesti mempunyai keyakinan dan keteguhan dalam mencapai matlamat.
“Sekiranya sedang belajar, kita mesti menimba ilmu, bekerja keras dan membaca sebanyak mungkin.
“Kita mesti mempunyai pemahaman yang lebih mendalam, lebih daripada golongan tua. Untuk apa? Kerana untuk membawa perubahan kepada masyarakat, negara dan komuniti antarabangsa,” katanya.
Anwar berkata memandangkan konsep tadbir urus berasaskan peraturan sekadar slogan yang gagal menangani krisis kemanusiaan maka penting untuk generasi muda menguasai bidang akademik dan sentiasa berfikiran kritis bagi membawa perubahan kepada masyarakat, negara serta dunia.
“Kita boleh lihat dalam sistem multilateral, contohnya dalam ASEAN yang mana saya menjadi Pengerusinya tahun ini. Saya berada di Vietnam semalam, kami bercakap tentang asas kemajuan, tadbir urus berasaskan peraturan. Tetapi siapa yang benar-benar peduli tentang peraturan ini?
“Jika dunia benar-benar mengikut peraturan, tidak akan ada penjarahan, penjajahan, eksploitasi atau penghinaan terhadap rakyat Gaza di Palestin. Jadi, kini kita melihat penghinaan terhadap kemanusiaan dan kemerosotan maruah manusia,” katanya.
