27 FEB : Kementerian Komunikasi menegaskan TikTok sepatutnya mengikuti undang-undang di negara ini susulan tindakannya menggantung 23 akaun agensi media tempatan secara kekal.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memanggil wakil TikTok minggu depan berkait perkara itu.
“Ini satu tindakan yang padapandangan saya mungkin pada mulanya mungkin bersifat salah faham mengenai garis panduan, tetapi untuk dikenakan sekatan penggantungan kekal itu saya rasa agak berat.
“Saya difahamkan pada mulanya, akaun-akaun ini sudah dikembalikan, tetapi selepas pada itu hampir kesemua diturunkan sekali lagi. Jadi ini mungkin akibat masalah membabitkan kecerdasan buatan (AI) TikTok.
“Saya sudah minta pihak MCMC memanggil pihak TikTok untuk adakan satu pertemuan dengan ketua editor syarikat media. Saya difahamkan ia akan berlangsung insya-Allah Isnin ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program agihan beras fidyah anjuran ikhlas.com di Pusat Komuniti Taman Eko Pantai, hari ini.
Terdahulu, TikTok menggantung secara kekal 23 akaun agensi media tempatan atas dakwaan melanggar dasar keselamatan berkaitan remaja susulan laporan kes cabul dalam masjid melibatkan seorang kanak-kanak wanita di Batang Ali, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata susulan kejadian tersebut, pentadbiran TikTok dilihat perlu menyelaraskan sistem AI platform berkenaan dengan undang-undang dalam negara.
“Dia (TikTok) nak kita ikut garis panduan dia, tetapi sepatutnya dia ikut undang-undang kita. Dalam beberapa perkara dia biar masalah scam (penipuan) dan judi dalam talian dibiarkan.
“Jadi, sebab TikTok sudah dilesenkan, maka kita boleh ambil beberapa tindakan. Cuma ada prosesnya kita akan jemput mereka, kita akan dengar pandangan mereka. Kita akan keluarkan beberapa arahan dan kita akan ambil tindakan susulan,” katanya.
MCMC meneliti perkara itu berdasar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Pindaan 2025) yang dikuatkuasakan sejak 11 Februari 2025.