27 FEB : Kelulusan Dewan Rakyat terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 membuka lembaran baharu ke arah memperkukuh kebebasan media di negara ini selepas tertunda lebih 50 tahun.
Jurucakap Gerakan Media Merdeka (GERAMM), Radzi Razak berkata usaha itu juga bagi meningkatkan tahap profesionalisme kewartawanan di negara ini.
“Sebagai kumpulan yang sentiasa memperjuangkan kebebasan media sepanjang sedekad ini demi integriti profesion kewartawanan, GERAMM terlibat secara langsung dalam cadangan penubuhan MMM bersama komuniti media dan pihak berkepentingan lain.
“Walaupun terdapat beberapa perkara dalam struktur dan fungsinya yang masih menjadi tanda tanya dan menimbulkan kebimbangan, kami melihat penubuhan ini sebagai langkah awal ke arah sistem kawal selia kendiri yang lebih baik untuk industri media di Malaysia,” katanya kepada BBCPORTAL, hari ini.
Dewan Rakyat meluluskan RUU yang mengandungi 23 Fasal itu selepas bacaan kali kedua dan dibahas 18 ahli Parlimen, Rabu lalu.

Dalam pada itu, Radzi berkata kebebasan media tidak boleh dicapai sepenuhnya selagi wujud undang-undang yang mencengkam dan menyekat kebebasan bersuara.
“Oleh itu, kerajaan perlu segera menilai dan menarik balik undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA), Akta Hasutan 1948 serta peruntukan dalam Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang sering disalahgunakan untuk menekan media,” katanya.
Pada masa sama, Radzi berkata pihaknya berharap MMM itu bukan sekadar menjadi badan simbolik sebaliknya benar-benar berperanan dalam melindungi wartawan, menangani isu etika secara adil dan mempertahankan kebebasan editorial.
“Kami berharap seluruh industri media termasuk syarikat penerbitan dan wartawan sendiri, akan bersama-sama menjayakan majlis ini dengan memastikan ia berfungsi sebagai platform yang bebas, telus dan berintegriti.
“Kami akan terus memantau perkembangan ini dan memastikan agenda kebebasan media kekal menjadi keutamaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli menyambut baik inisiatif kerajaan itu yang menamatkan penantian panjang penubuhan majlis berkenaan.
“Alhamdulillah, kita menyambut baik apabila Dewan Rakyat meluluskan RUU MMM 2024. Ia satu momen yang amat bersejarah sekali gus menamatkan penantian dan perjalanan yang sangat panjang dalam usaha menubuhkan Majlis Media ini.
“Bayangkan usaha mewujudkan Majlis Media Malaysia sebenarnya digagaskan sejak lebih 50 tahun lalu, tetapi sering menemui jalan buntu. Akhirnya pada tahun 2018, satu jawatankuasa sementara dinamakan Pro-Tem majlis media diwujudkan untuk menggerakkan usaha ini.
“Pun begitu, saya sendiri hanya menyertai jawatankuasa ini pada tahun 2022 dan memang dapat melihat usaha keras baik di pihak Pro-Tem diketuai Premesh Chandran bersama profesional dan pengamal media bersama-sama Kementerian Komunikasi untuk memastikan RUU Majlis Media Malaysia dibentang dan diluluskan,” katanya.
Katanya lagi, meski akta itu tidak sempurna namun pada akhirnya semua pihak akan mencari titik tengah, bertolak ansur dan mencapai penyelesaian menang-menang.
Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM), Teh Athira Yusof yang turut menyambut baik inisiatif itu berkata kelulusan itu merupakan langkah penting bagi memastikan kebebasan media dan mewujudkan ekosistem kewartawanan yang lebih bertanggungjawab serta profesional.
“NUJ mahu melihat MMM menetapkan garis panduan yang jelas dan mekanisme penyelesaian aduan yang adil, agar wartawan dapat menjalankan tugas mereka secara bebas tetapi tetap mematuhi piawaian kewartawanan yang tinggi.
“NUJ berharap agar semua pihak berkepentingan termasuk wartawan, organisasi media dan masyarakat sivil dapat bekerjasama memperkukuhkan peranan MMM supaya ia benar-benar memberi manfaat kepada ekosistem media negara dan mempertahankan peranan media sebagai kuasa keempat dalam demokrasi,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK