28 FEB : Semua pihak diberi peringatan agar tidak mengambil kesempatan atas kelonggaran syarat penganjuran perhimpunan aman di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penganjuran himpunan itu mestilah dengan alasan yang munasabah.
“Bagi notis awal (kepada polis)h, isu biarlah munasabah. Ini isu pembangunan bandar, pemulihan bandar (pun mahu berhimpun).
“Kita mahu tolong penduduk miskin majoriti Melayu. Kawasan itu kita mahu bangunkan semula, jadi nak bantah sebab apa?
“Oh ini hak Melayu! Sejak bila kamu perjuangkan? Bila kamu perintah dulu, tiada pun usaha membangunkan kawasan orang miskin, flat lama termasuk kawasan orang Melayu di bandar.Kita (Kerajaan MADANI) mahu usahakan,” katanya.
Beliau berkata pada Majlis Peletakan Logo Malaysia Madani di rangkaian Restoran Nasi Kandar Putrajaya (Singgah MADANI), hari ini.
Dalam pada itu, menyentuh soal bantahan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA), individu tersebut perlu turun ke bawah untuk melihat sendiri keadaan flat usang yang terdapat ibu kota ini.
“Sebab itu saya nak bagi ingatan, jangan guna kebebasan ini untuk menipu dan memfitnah apatah lagi atas nama orang Islam dan Melayu.
“Kita nak bangunkan orang Melayu, kamu hanya dengki dan hasad. Sebenarnya penyakit mereka ini penyakit hasad dengki, tak boleh tengok orang senang dan projek yang baik.
“Sekarang ini umpamanya bila laksana projek, dia tak pernah pergi belah Kampung Kerinchi, flat Sri Perlis (di Cheras) dan sebagainya.
“Ia terlalu daif, saya tidak mahu umpamanya dengan kesungguhan pembangunan sekarang, kita ketepikan atau sisihkan kedudukan orang miskin. Tanggungjawab kita untuk ‘push’ laksana pembangunan semula,” katanya.
Kelmarin, Pemuda PAS memaklumkan parti itu merancang untuk mengadakan himpunan besar-besaran bagi membantah cadangan berkait RUU kerajaan itu.
Timbalan sayap parti Islam itu, Mohd Hafez Sabri berkata Pemuda PAS akan terus berjuang bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan lain bagi memastikan suara rakyat didengar dan dipertahankan.