28 FEB : 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) yang dibentangkan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini disokong sebulat suara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan perkara tersebut usai Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM), hari ini.
“Alhamdulillah, Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-31 di Desaru, Johor telah menutup tirainya.
“Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 membentangkan 18 PED dan kesemuanya disokong penuh oleh perwakilan yang hadir,” katanya melalui hantaran di Facebook, sebentar tadi.
Menurutnya, semua pihak perlu berpegang pada prinsip kepusatan ASEAN dan terbuka meneroka peluang baharu.
“Kita harus terus berpegang kepada prinsip kepusatan ASEAN, dan kita juga perlu terbuka untuk meneroka peluang-peluang baharu bagi menghadapi ketidaktentuan iklim geopolitik dan geoekonomi hari ini.
“Terima kasih kepada semua yang hadir dan menjayakan permukiman ini,” katanya.
PED yang merentasi pelbagai sektor di bawah Visi Komuniti Ekonomi ASEAN itu termasuk perdagangan barangan, pelaburan, kewangan dan pasaran modal.
Selain itu, ia juga melibatkan pertanian, tenaga; perusahaan kecil, mikro dan sederhana (PMKS), pelancongan, semikonduktor serta penglibatan dengan rakan dialog.
